SELAMAT DATANG DI SITUS KAMI SEMOGA BERKESAN DAN BERMANFAAT.TERIMA KASIH

Selasa, 16 Juni 2009

siklon tropika

Siklon tropika adalah merupakan ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer, yang terbentuk di kawasan perairan tropika. Apabila dilihat melalui satelit, ia kelihatan seperti satu sistem gegelung yang ketat dan berkuasa dengan kelompok awannya melingkar keluar. Bagi siklon tropika yang matang, wujud satu kawasan di pusatnya yang udaranya secara relatifnya tenang dengan hanya terdapat sedikit awan. Kawasan ini dikenali sebagai mata bagi siklon tropika.

Siklon Tropika di kelaskan seperti berikut :

Lekukan Tropika - Satu sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63 kmpj atau kurang.

Ribut Tropika - Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum antara 64 - 117 kmpj.

Taufan - Satu sistem cuaca tropika hebat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 118 kmpj atau lebih.

bagaimanakah siklon tropika terbentuk?

Siklon tropika terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaannya 26o C atau lebih. Di rantau Asia, siklon tropika selalunya dikenali sebagai taufan dan biasanya terjadi semasa musim panas Hemisfera Utara yang mana suhu di Lautan Pasifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan. Sistem tekanan rendah yang terbentuk di kawasan lautan tropika yang panas akan bergerak ke arah barat, berkembang daripada lekukan tropika kepada ribut tropika dan akhirnya menjadi taufan yang matang.

Perkembangan Lekukan Tropika Kepada Taufan Bergantung Kepada Tiga Keadaan :

Laut Panas

Kelengasan

Corak angin berhampiran permukaan laut yang melingkarkan udara ke arah dalam.

Semasa pembentukan, siklon mengumpulkan haba dan tenaga melalui hubungan dengan air laut yang panas. Haba dan kelengasan yang di hasilkan oleh penyejatan permukaan laut memberi tenaga kepadanya seolah-olah enjin haba raksasa. Pembentukan kelompok-kelompok ribut petir membolehkan udara menjadi lebih panas lagi dan naik ke atas dalam atmosfera.

Mata siklon yang berdiameter antara 30 - 100 kilometer adalah merupakan pusat tekanan rendah ribut tropika tersebut. Aktiviti yang paling hebat (atau ganas) berlaku di kawasan sekitar mata yang juga dipanggil dinding mata. Di sini, udara berputar ke arah atas dan luar dengan kelajuan yang meningkat. Sebahagian daripada udara bergerak ke arah dalam dan tenggelam ke dalam mata, membentuk kawasan bebas awan.

bilakah taufan biasanya berlaku?

Pada kebiasaannya, taufan mula muncul di sebelah barat Pasifik Utara pada awal bulan Mei. Bilangannya bertambah dan mencapai maksima disekitar bulan September. Kebanyakan taufan terbentuk di kawasan latitud 5oU dan 20oU dan longitud 130oT dan 170oT. Laluan biasa bagi taufan adalah bergerak menghala ke arah barat merentasi Filipina dan seterusnya membeluk ke arah timur laut apabila menuju daratan Asia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar